Saturday, August 28, 2010
APA ITU KAEDAH LATIH MELATIH PELATIH MEMBACA MELALUI KELAB TUNAS EHSAN?
RANCANGAN TUNAS EHSAN DI SEKOLAH PASCA UPSR 2010?
ADAKAN SKIM PEMBACAAN INISIATIF NASIONAL ATAU SPIN
DALAM AGENDA JAWATANKUASA MBMMBI KEMENTERIAN
DALAM JADUAL LATIHAN PERINGKAT PPD
ADAKAN SKIM PEMBACAAN INISIATIF KELAB ATAU SPIK
DAN TUNASKAN GURU FASILITATOR
DAN LAHIRKAN KOC BAGI SPIK 2011
Pembelajaran yang berkesan hanya boleh bermula dari keupayaan pelajar membaca dan menulis, dan keupayaan ini biasanya lahir dari latihamal berterusan. Kelab TUNAS EHSAN diwujud sebagai badan kokurikulum bagi meningkatkan tahap membaca dan menulis atau celik huruf secara mudah, sebagai suatu kaedah ‘campur tangan’ berbentuk tambahan. Objektif penubuhan Kelab TUNAS EHSAN untuk memperkayakan kurikulum sedia ada dan menyelamatkan mereka yang terkebelakang dalam proses pendidikan, sambil sekaligus membina dan mempertingkat keupayaan pelajar teratas.
Ia boleh mengganti budaya tuisyen yang dilalui pelajar hari ini apabila dipaksa mengulang bahan sama seperti di sekolah, yang dipelajari untuk peperiksaan semata-mata tanpa memberi tumpuan pada ikhtiar mengatasi mana-mana kelemahan atau masalah pembelajaran mereka. Ia juga menjejak kurikulum rasmi sambil menambah waktu belajar kerana pelajar akan berusaha bersungguh-sungguh mencari ruang masa untuk menguasai bahan yang ditetapkan.
Tiada ragu lagi guru merupakan portal terbaik apabila mereka dapat bertindak sebagai fasilitator dalam proses pendidikan dengan menggalak dan menyediakan suasana bagi persekitaran pembelajaran yang lebih mencabar.
Di sini diperkenalkan rangka kaedah bagi menaikkan tahap mutu celik huruf (literacy enhancement) di sekolah melalui penubuhan Kelab TUNAS EHSAN. Kelab ini bertindak sebagai pemacu program bimbingan sesama rakan, yang digerakkan ke arah aktiviti membaca dan menulis secara meluas dan bertubi-tubi tetapi berstruktur. Tentunya kesemua pelajar perlu dilibatkan, kerana bukankah kita berdosa kiranya sebahagian daripada mereka diabaikan?
Pada asasnya belakang parang sekalipun jika diasah lagikan tajam!
Kelab TUNAS EHSAN boleh dimulakan dengan bilangan maksimum 44 ahli dari pelajar tahun 6. Ahli-ahli dibahagikan kepada 4 kumpulan yang terdiri dari 10 pelajar + 1 koc yang dipilih. Buku yang disyorkan, 366 A Collection of Malaysian Folk Tales [bagi pembacaan Bahasa Inggeris] dan Himpunan 366 Cerita Rakyat Malaysia [bagi pembacaan Bahasa Melayu] mengandungi 366 cerita-cerita pendek yang menarik bagi pelajar memilih, melatih baca berulangkali dan akhirnya mula merakam bacaan setelah lancar dan fasih.
Sebagai suatu kaedah pemulihan serta pengkayaan rangka pelajaran digubal bagi menerapkan keupayaan pelajar dalam keempat-empat kemahiran perlu pada pembelajaran bahasa, iaitu kemahiran mendengar, membaca, menulis dan bertutur. Tumpuan utama kaedah ini ialah pertamanya mengerakkan pelajar ke arah aktiviti pembacaan semaksimum mungkin bahan yang telah dipilih, sama ada buku atau buku berserta audio. Ia program pembacaan wajib yang dijalankan secara berkala oleh 4 kumpulan latihan dari setiap kelas di bawah pengawasan guru.
Kaedah latihan dipanggil TUNAS EHSAN RANCANGAN REGU AMAL BACA, terrabaca atau coach-a-coach, kerana ia merupakan latihan rakan sebaya di mana kesungguhan dianggap komponen yang digred dan dinilai. Latihan membaca dijalankan oleh 4 kumpulan tersebut secara zihar (read aloud) dan berputar mengikut giliran sambil dibuat pembetulan berterusan oleh koc atau jurulatih bagi setiap kesilapan.
Tumpuan kepada kekerapan bagi mendapat kefasihan, atau kefasihan dari kekerapan, melahirkan pengukuhan yang perlu untuk mengekalkan apa yang sudah dipelajari. Ini penting dalam suasana di mana penggunaan bahasa formal amat terhad , kerana walaupun bahasa diajar tetapi tidak dipelajari. Ia kembali pada konsep asal bahawa bahasa itu perlu ada bunyinya. Dan bunyinya setepat mungkin!
Ketrampilan ekspresi diri sudah mula menyerlah..........
Ditambah pula dengan keperluan latihan menulis sebelum selesai setiap sesi latihan, yang diperiksa dan digred dengan serta-merta oleh rakan sebaya; maka ibubapa tidak lagi perlu resah akan gejala kerja rumah anak-anak yang tidak disemak dan diperbaiki oleh guru yang terlalu sibuk dengan urusan lain.
Guru yang mengendali pasukan-pasukan, sebagai fasilitator merangkap head coach kepada 4 pasukan misalnya, memastikan setiap pasukan tertumpu kepada suatu komponen modul, sambil mereka bertanding untuk menghabiskannya dan melangkah ke tahap lebih tinggi. Atau guru mengarahkan mereka beralih ke komponen lain, misalnya dari modul membaca kepada modul penceritaan atau pertuturan.
Latihan Kelab TUNAS EHSAN di sekolah seharusnya dilakukan sekurang-kurangnya 2 sesi seminggu, setiap sesi waktu minimumnya 90 minit (1 jam bacaan + 30 minit menulis, mengeja & lain-lain latihan), supaya setiap pelajar dapat membaca selama 6 minit seorang sambil mendengar bacaan rakan selama 54 minit yang selebihnya, secara kasar. Jadi pada kadar seminggu, setiap pelajar telah membaca selama 12 minit dan mendengar selama 108 minit, menjadikannya 2 jam seminggu latihan membaca dan 1 jam aktiviti pengukuhan.
Perlu juga diambil kira kesan aktiviti yang merangsang pelajar berlatih secara senyap-senyap sebagai persediaan, terutama dalam suasana kompetitif yang diwujudkan. Jadi aktiviti Kelab TUNAS EHSAN dilanjutkan melangkaui waktu sekolah kerana ahli-ahli berlatih untuk penyertaan English Coaching Games yang antara lain memerlukan setiap pasukan memilih dua ahli yang terbaik untuk merakamkan bacaan mana-mana dari 366 cerita itu, bagi dimuatnaik ke dalam portal sekolah bagi dinilai warga sekolah
(nanti dimuatnaik ke Portal SPIN Tunas Ehsan (under construction, perpetually waiting for moe support).
Rakaman itu juga boleh digunakan bagi melatih kumpulan baru yang menyertai Kelab TUNAS EHSAN, sekaligus mewujudkan skema yang membiak, atau lebih tepat terTUNASnya bakal koc. Begitu juga penambahan bilangan rakaman bagi dinilai oleh rakan sebaya, dan yang terpilih boleh menjadi bahan audio untuk latihan seterusnya. Ini juga memberi peluang bagi guru menilai dan mengatur semula bahan mengikut pencapaian pelajar dalam kumpulan.
Melalui Kaedah coach-a-coach ini Guru juga dapat mencerna kemahiran membaca, malah telah sedia terbina dalam kaedah ini sistem mencambahkan koc, atau coach breeding. Guru sebagai fasilitator diberi tugas menentukan aktiviti latih melatih pelatih bagi memastikan penyertaan pelatih bertambah bagi menjayakan program ini.
Dengan pengukuhan kemahiran asasi bahasa kita akan berjaya menentukan wujudnya 'level playing field" kerana "grading is also based on effort".
Pada asasnya belakang parang sekalipun jika diasah lagikan tajam!
KAEDAH KELAB TUNAS EHSAN
1. Setiap kumpulan bersepuluh akan beradu menghabiskan set bacaan yang ditetapkan di bawah bimbingan seorang koc atau pembantu koc yang dipilih oleh guru kelas dari kalangan ahli kumpulan.
2. Setiap kumpulan dalam kelas akan bertanding untuk melahirkan pembaca terbaik, dan mereka yang meningkat dalam pembacaan boleh memilih masuk kumpulan lebih baik yang digred ikut tahap A, B, C dan D.
3. Setiap pelajar akan berpeluang dilantik koc atau pembantu koc berdasarkan pencapaian dalam pembacaan serta jumlah jam yang mereka sumbangkan membantu rakan kumpulan yang masih lemah.
4. Penentuan markah akan berdasarkan kefasihan, penyebutan, usaha dan semangat kerjasama yang ditunjukkan setiap pelajar dalam menentukan tahap kumpulan.
5. Kaedah yang digunakan untuk latihan hendaklah kaedah coach-a-coach.
Sila baca mengenai "Meningkatkan tahap membaca dan menulis melalui Kelab TUNAS EHSAN penggerak inisiatif ENGLISH COACHING GAMES 2010/2011" seterusnya...................
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

0 comments:
Post a Comment